
Pejabat Pengurusan Akademik (PPA) buat julung kalinya mengadakan Bengkel Penyediaan Syarat Kemasukan bagi program akademik yang ditawarkan oleh UTHM. Bengkel Penyediaan Syarat Kemasukan Program Akademik (Diploma dan Sarjana Muda) Bagi Sesi Akademik 2026/2027 selama tiga hari yang telah diadakan mulai 20 Jun 2025 bertempat di Hotel Granada Johor Bahru mengumpulkan Dekan, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) serta wakil daripada fakulti dan pusat pengajian bagi mencapai objektifnya. Bengkel ini juga amat bermakna dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin bin Mahzan @ Mohd Zin serta Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan bin Juki dan Prof. Dr. Hasan Zuhudi bin Abdullah selaku wakil Senat Universiti.

Beberapa siri mesyuarat antara Unit Pengambilan dan Kemasukan Pelajar PPA selaku penyelaras syarat kemasukan di peringkat universiti merangkap urus setia dengan pihak fakulti dan pusat pengajian telah diadakan sebelum pelaksanaan bengkel ini. Dalam bengkel di Hotel Granada tersebut, lontaran idea dan pandangan sesama ahli serta perkongsian pengalaman amat membantu semua pihak. Pengarah dan Timbalan Pengarah Pembangunan dan Akreditasi Akademik CAD turut hadir bagi memastikan garis panduan persijilan terlibat dipatuhi dalam syarat kemasukan yang disediakan.
Di hari terakhir, rata-rata ahli mencadangkan agar bengkel yang signifikan kepada enrolmen pelajar ini dapat dilaksanakan secara berkala. Diharap usaha murni yang berjaya dilaksanakan atas komitmen semua pihak yang terlibat akan dapat membantu memacu KPI universiti.
